Jiwa Music

Wednesday 15 July 2015

BMM1024 (SEJARAH SENI TARI BANGSA MELAYU )

Selamat pagi saya ucapkan kepada pelawat yang dikasihi dan dicintai, pada pagi ini saya dan ahli kumpulan saya akan menjelaskan satu topik iaitu ''Kesenian Melayu''

APAKAH ITU SENI TARI ? 
      Seni tari ialah cerminan jiwa yang saling berkomunikasi dengan nilai dan fungsi kehidupan itu sendiri. Seni tari atau tarian juga merupakan satu perlakuan yang bersifat teknikal dan ada kalanya agak kompleks. Seni tari berbeza daripada perlakuan manusia yang biasa seperti makan, minum, berjalan dan berlari. Tarian memperlihatkan gerak-geri, lenggang-lenggok dan pergerakkan jari yang lemah gemalai. Ada tarian yang mengandungi unsur intelek dan mesej yang perlu ditafsirkan. Unsur ini digabungkan secara unik dapat menarik perhatian orang ramai untuk menikmatinya. Dalam kalangan masyarakat melayu, seni tari berhubung rapat dengan ritual, iaitu tatacara dalam upacara keagamaan.
Jenis-jenis tarian bangsa melayu yang popular di kalangan masyarakat kini:

  • Tarian Makyung
  •                                                        Tarian Kuda Kepang 
  • Tarian Ulek Mayang 
  •                                                          Tarian Mak Inang
  • Tarian Zapin
  • Boria
  • Tarian Joget
  • Tarian inai 

  • ASAL USUL DAN FUNGSI SETIAP TARIAN BANGSA MELAYU 
  • TARIAN MAKYUNG-Makyong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan
    Riau - Indonesia.

    Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

    Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalan dalam siri pertunjukkan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun
  • Tarian Kuda Kepang- merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian ini ialah tarian warisan budaya Jawa dengan pengaruh Islam. Ciri Jawa itu jelas pada pakaian penari-penari dan unsur Islam jelas pada jalan cerita itu semasa ditarikan iaitu mengisahkan peperangan Rasulullah dan para sahabat. Dikatakan bahawa tarian ini diperkenalkan oleh pendakwah Islam sebagai cara menarik penduduk setempat agar datang beramai-ramai menyaksikan persembahan mereka. Pendakwah akan menyampaikan dakwah mereka sebelum atau selepas persembahan.
    Tarian Kuda kepang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya dari keturunan Jawa. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
    Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.
    Tarian kuda kepang tradisi dikatakan memiliki banyak jampi serapah, dan pemain yang menarikannya boleh menjadi lupa. Mata penari yang berada dalam keadaan ini berkilauan, tidak boleh bercakap, manakala pergerakan dan kelakuan mereka menyerupai kuda. Hakikatnya, situasi seseorang penari itu bergantung kepada kekuatan roh juga niat atau azam diri. Faktor lain ialah makhluk yang menyerap dalam tubuh yang dipanggil atau diseru melalui rangkaian jampi mantera yang dituturkan oleh pawang yang mengetuai kumpulan, perasapan kemenyan, sajian yang dihidangkan, juga bunyi gendang dan gong yang dipalu. Mereka yang dirasuk dikatakan mampu melakukan perkara-perkara merbahaya seperti memakan kaca atau juga mengupas kelapa dengan gigi. Disebabkan itu, tarian kuda kepang yang masih mengamalkan jampi serapah difatwakan sebagai bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.[1]
    Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini. Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa, Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Setelah waktu berlalu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar. Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.
    Persembahan kuda kepang ini biasanya dipersembahkan bersama-sama persembahan tarian Barongan dengan tradisi mempersembahkan tarian Barongan selepas tarian Kuda Kepang kemungkinannya merupakan bukti kepentingan tarian Kuda Kepang dan Barongan dalam penyebaran syiar Islam ketika itu.
  • Tarian Ulek Mayang -Ulek Mayang (Tulisan Jawiاولق مايڠ ialah tarian tradisional Melayu yang berasal dari negeri TerengganuMalaysia. Ia merupakan sejenis tarian penyembahan di mana sebuah lagu unik dinyanyikan dengan iringan orkestra Melayu yang terdiri dari gendanggongbiola dan akordianAda banyak versi legenda Ulek Mayang, menurut salah satu darinya, tarian ini berasal dari upacara rawatan kuno yang dilakukan oleh seorang bomoh ke atas seorang nelayan yang berada dalam keadaan tidak sedar, dipercayai telah dipukau oleh seorang puteri laut yang jatuh cinta padanya. Percubaan bomoh untuk membawa balik roh nelayan itu menyebabkan puteri itu menyeru 5 lagi saudaranya untuk melawan bomoh tersebut. Pertarungan di antara si bomoh dan keenam-enam puteri berlanjutan sehingga kemunculan puteri yang ketujuh dan paling sulung.
    "Ku tahu asal-usulmu” kata puteri sulung dan beliau memerintahkan semua orang, "Yang laut balik ke laut, yang darat balik ke darat".
    Bomoh yang terhutang budi dan rakan-rakan nelayan menyampaikan sembahan nasi berwarna kepada sang puteri, satu upacara yang kekal diamalkan sehingga kedatangan Islam, untuk menunjukkan rasa terhutang budi kepada semangat-semangat laut.
  • Tarian Mak Inang-Tarian Mak Inang dicipta semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tarian ini amat terkenal pada masa dahulu sebagaimana ianya terkenal pada hari ini.
    Tajuk lagu Mak Inang yang mengiringi tarian ini telah dititahkan ciptaannya oleh Sultan Mahmud Shah yang sangat gemarkan kesenian.
    Arahan ini telah dikeluarkan oleh Sultan kepada ketua inang atau ketua dayang untuk diajar kepada para dayang bagi dipersembahkan kepada Sultan semasa majlis keramaian.Lagu dan tarian ini sungguh mempersonakan dan mempunyai kualiti persembahan istana.
    Tarian ini juga dipanggil sebagai Tarian Si Kembang Cina.
    Kini tarian Mak Inang yang juga dikenali sebagai Tarian Inang (versi moden tarian Mak Inang) dipersembahkan pada majlis-majlis keramaian dan perkahwinan
  • Tarian Zapin-Tarian Zapin (Jawi:زافين) merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di Nusantara iaitu di Semenjung Tanah Melayu, Borneo dan gugusan pulau yang sebanding yang mana bergiat aktif dari dulu hingga kini seperti di MalaysiaBrunei,Singapura dan Indonesia. Zapin telah mengalami pengubahsuaian dari segi bentuk dan ragamnya yang ternyata lebih tradisional sifatnya.Mengikut sejarah tarian Zapin, pada mulanya tarian ini adalah sebagai tarian hiburan di istana setelah dibawa dariHadramaut, Yaman oleh para pedagang Arab pada awal abad ke-16. Pada masa itu negeri Johor menjadi pengganti kepada peranan Melaka sebagai sebuah entrepot antarabangsa pada kurun ke-16.
    Tarian zapin ini kemudiannya merebak ke negeri-negeri sekitar Johor seperti di Riau, iaitu pusat pemerintahan Johor lama, Singapura, wilayah Sarawak, dan Brunei Darussalam.
  • Boria-Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi.
    Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian boria diketuai oleh seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi). Rangkap karangan boria yang hujung sukukatanya sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan sketsa yang dipersembahkan.
    Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi. Alat-alat muzik boria telah berubah mengikut peredaran masa. Namun begitu penggunaan alat-alat muzik seperti violinmarwasgendang panjangakordian,harmonika adalah digalakkan.
  • Tarian joget-merupakan sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian Joget sangat digemari oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia kerana ia mudah dipraktikkan dan dipelajari. Tarian ini biasa dipersempahkan ketika upacara Mandi Safar.[1]Suatu ketika dahulu di Negeri Melaka, tarian Joget Lambak begitu terkenal. Malah Joget Lambak juga menjadi acara bagi memeriahkan majlis-majlis perkahwinan dan keramaian terutamanya di Negeri Melaka.
    Tarian Joget dipercayai berasal daripada tarian Kaum Portugis iaitu Branyo. Ketika itu Joget diiringi lagu-lagu seperti Jingkling Nona tetapi sekarang banyak lagu-lagu dihasilkan seperti Joget Serampang Laut, Joget Rentak 106, Joget Johore Sport Club, Joget Pucuk Pisang dan lain-lain lagi. Joget juga dikenali sebagai ronggeng yang mengambil nama daripada perkataan “wrong gang” kerana ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita.
  • Tarian Inai-Tari Inai atau Terinai merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Tarian ini adalah tarian istana yang ditarikan semasa majlis berkhatan anak pembesar-pembesar istana. Ia dipersembahkan kepada kanak-kanak ini semasa mereka hendak dikhatankan dan duduk diatas pelamin.
    Tarian Inai ini popular di Perlis, utara Kedah dan Kelantan. Tarian Inai ini jarang dipersembahkan berbanding tarian istana yang lain, disebabkan ia dikhusus bagi peristiwa tertentu seperti perkahwinan, berkhatan, dan pertabalan diraja.
    Tarian ini mempunyai asal istiadat dan memiliki pergerakan jari dan tangan yang rumit dalam pergerakan tari bulatan yang berterusan. Ia mempunyai gabungan pergerakan tarian yang terdapat dalam Mak Yong, Silat dan kedudukan akrobatik yang dikenali meliuk, dalam mana penari membongkokkan badan kebelakang sementara berdiri dengan muka memandang kelantai. Pada masa lalu, tarian ini dipersembahkan oleh dua lelaki.
    Kesimpulannya
  • Tarian Melayu tidak sekadar persembahan untuk hiburan tetapi juga melambangkan kerukunan sosiobudaya, tatasusila bangsa, malah saluran yang menjalinkan keharmonian, mempertahan maruah bangsa sehinggalah terbina jati diri bangsa dan masyarakat tanah air. Misalnya,tarian rakyat seperti kuda kepang dan tarinai bukan sahaja menampilkan gerak tari tetapi juga menunjukkan sifat kesabaran dan toleransi. Jelaslah bahawa seni gerak tarian telah memberi makna keindahan dalam kehidupan serta terbukti dapat dipertahankan walaupun dalam dunia globalisasi yang penuh cabaran ini.
          Sumber Rujukan
  • Buku rujukan ASAS KEBUDAYAAN DAN KESENIAN MELAYU,disunting oleh Anwar Din,Penerbit UKM,cetakan pertama(2007),cetakan kedua(2008)



No comments:

Post a Comment